Kren Tumbang: Warga Makkah Berpusu-Pusu Derma Darah
MAKKAH – Ramai penduduk tempatan terutamanya para belia, berpusu-pusu ke pelbagai hospital di sini untuk menderma darah bagi kegunaan mereka yang cedera dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat.
Sebilangan besar penduduk Makkah malah menggunakan media sosial untuk menggalakkan orang ramai segera tampil ke hadapan bagi menderma darah mereka bagi membantu hospita yang mungkin kekurangan bekalan.
Malah lelaman sesawang Arab Saudi mula sesak dibanjiri dengan banyak berita serta gambar-gambar tentang kemalangan dahsyat tersebut apabila ia berlaku pada petang 11 September susulan angin kuat dan ribut pasir.
Seorang jurucakap di Jabatan Kesihatan Makkah, Abdul Wahab Shalbi memberitahu akhbar Saudi Gazette bahawa semua hospital di Makkah bersedia untuk menerima jumlah pesakit yang seramai mungkin.
Sekurang-kurangnya 107 orang kebanyakan jemaah haji disahkan meninggal dunia apabila sebuah kren pembinaan yang besar tumbang ke Masjidil Haram. Kira-kira 230 yang lain pula dilaporkan cedera.

Baca: Angin Kuat Punca Kren Tumbang – Pegawai Saudi
Jurucakap Masjidil Haram, Ahmed Mohammad al-Mansoori dipetik agensi berita Saudi sebagai berkata, sebahagian daripada kren tumbang pukul 5.10 petang waktu tempatan “akibat angin kencang dan hujan lebat“.
Seorang yang bertugas di Masjidil Haram, Abdel Aziz Naqoor pula memberitahu agensi berita antarabangsa AFP bahawa beliau dapat melihat dengan jelas kren tinggi tersebut tiba-tiba jatuh selepas dibadai kuat ribut.
“Jika tidak kerana jambatan Al-Tawaf, jumlah kecederaan dan kematian akan menjadi lebih teruk,” katanya sebagai merujuk binaan mataf setinggi empat tingkat yang mengelilingi Kaabah untuk bertawaf.
Namun tiada maklumat segera mengenai butiran kerakyatan para mangsa yang terbunuh dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi kepada media setakat ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Usaha Mencari 8 Jemaah Hilang Giat Dilakukan TH

Keadaan tiang kren yang tumbang di Masjidil Haram mengorbankan lebih 100 jemaah haji dan mencederakan beratus lagi malam tadi.
- Foto BERNAMA
MAKKAH – Tabung Haji (TH) kini giat melakukan usaha mengesan lapan jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang sejak Jumaat, selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sejak semalam, petugas TH melakukan pemeriksaan bilik ke bilik di semua enam bangunan yang menempatkan jemaah haji Malaysia.
“Selain pemeriksaan bilik ke bilik, pemeriksaan juga dilakukan di hospital-hospital Arab Saudi, sekiranya terdapat jemaah haji (yang cedera) yang telah dibawa ke sana selepas kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini.
Syed Saleh berkata pasukan TH yang terdiri daripada unit peronda, perubatan dan kebajikan turut melakukan rondaan secara intensif di sekitar kawasan Masjidil Haram, bagi mengesan mereka terbabit.
Setakat ini, 10 jemaah haji disahkan cedera dalam kejadian itu. Kejadian yang dikaitkan dengan cuaca buruk yang melanda Tanah Suci itu dilapor mengorbankan sekurang-kurangnya 107 nyawa dan mencederakan 238 yang lain.
Dua jemaah terbaharu yang kini termasuk dalam senarai disahkan hilang itu ialah Abdul Muluk Ishak, 71 tahun, (berasal dari Pasir Remis, Perak) dan Susiah Suar, 56 tahun, (Gunung Besout, Sungkai, Perak).
Manakala enam dalam senarai awal ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37 tahun, (berasal dari Tanah Merah, Kelantan); Shahidan Saad, 52 tahun (Kodiang, Kedah); dan Rohana Ismail, 54 tahun (Kuala Krai, Kelantan).
Abdul Habib Lahman, 68 tahun (Sik, Kedah); Zainun Taha, 69 tahun (Ampang, Selangor) dan Munah Jusoh, 73 tahun (Cherang Ruku, Kelantan). – Agensi/Mynewshub.cc

No comments:
Post a Comment